MINTA IZIN
Suatu yang menjadi kelaziman ke atas orang Islam apabila terjalin pergaulan sesama mereka ialah hendaklah meminta izin antara satu sama lain ketika berada di ambang pintu untuk memasuki ke ruang rumah yang di lawatinya. Ini adalah satu kewajipan yang merupakan ciri akhlak yang telah ditetapkan oleh Allah dalam Al-Quran seperti mana firman Allah :
Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu masuk ke dalam sesebuah rumah yang bukan rumah kamu sehinggalah kamu meminta izin dan memberi salam ke atas ahli keluarga rumah tersebut yang demikian itu adalah lebih baik semoga kamu dapat memberi peringatan.
(SURAH AL-NUR: 27)
CARA MEMINTA IZIN
Cara meminta izin yang telah ditetapkan dalam al-Quran ialah dengan memberi salam sebanyak tiga kali kepada ahli keluarga yang menjadi penghuni sesebuah rumah yang hendak diziarahi. Sekiranya diberi keizinan hendaklah masuk dengan baik, seandainya tidak diberi keizinan hendaklah pulang dengan cara yang baik tanpa ada sebarang keraguan atau rasa sedih. Ahli keluarga atau tuan rumah itu mungkin mempunyai sebab-sebab tertentu yang menyebabkan dia menolak kedatangan anda pada waktu ini.
mengambil langkah untuk pulang ini memang disuruh oleh Allah kepada hamba-Nya melalui firman Allah :
Dan jika dikata kepada kamu pulang olehmu, maka hendaklah kamu pulang kerana ini adalah sebijak-bijak tindakan bagimu, dan Allah amat mengetahui dengan apa yang kamu lakukan. (SURAH AL-NUR : 28)
ADAB MENUNGGU KEIZINAN
Ketika menunggu oleh seseorang yang meminta izin hendaklah menunggu dengan sabar sementara tuan rumah memberi keizinan dan menjemput sebagai tetamunya. Janganlah anda berdiri di hadapan pintu yang terbuka luas dengan keadaan mata liar memandang-mandang atau menjeling-jeling ke dalam rumah melalui pintu yang sedang terbuka, atau menilik-nilik di celah-celah lubang pintu yang tertutup, kerana ini melambangkan keperibadian yang tidak elok dari segi akhlak dan juga anda dianggap kurang sopan.
Cara yang lebih baik telah ditentukan oleh sunnah iaitu berdiri dengan adab sopan serta tunggu dengan penuh kesabaran di hadapan pintu yang terbuka atau tertutup dengan memberi salam sebanyak 3 kali serta perhatikan apa yang ada di sekitar anda sahaja. Jangan sekali-kali cuba melakukan apa-apa tindakan melainkan tunggu dan lihat sahaja perkembangan dan tindakannya. Adab ini telah dinyatakan di dalam hadis melalui satu peristiwa yang dilalui sendiri oleh Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Sahli bin Saad Al-Sa’iedi :
Bahawa seorang lelaki telah mengintai Rasulullah SAW melalui satu lubang ke dalam sebuah bilik yang mana Rasulullah sedang melilit serban di kepalanya. Setelah ia perasan ada yang mengintai lalu Rasulullah berkata,
”Kalaulah aku tahu bahawa kamu sedang mengintai nescaya aku cucuk mata kamu melalui lubang itu sesungguhnya di syariatkan keizinan itu disebabkan pandangan mata”. (RIWAYAT BUKHARI MUSLIM, TARMIZI DAN NASAIE)
Hadis ini boleh dijadikan sebagai dalil bahawa penantian juga amat perlu kepada adab sopan yang melambangkan kesabaran dan keikhlasan diri dalam menghadapi sesuatu penantian. Tema dalam hadis di atas menunjukkan bahawa sikapnya yang tidak sabar membawa kepada keinginannya hendak tahu, dan ia melambangkan tidak ada amanah dalam jiwanya serta tiada bersopan dalam penantian dan bersikap mata keranjang membuatkan orang lain tidak senang dengan anda.
PERATURAN MINTA IZIN
Apabila anda mengunjungi ke rumah sahabat lalu memberi salam sebagai tanda atau isyarat meminta keizinan lantas tuan rumah bertanya, “Siapa?’, maka jangan menjawab, “Saya,saya,saya”, bahkan hendaklah menjelaskan, “Saya bernama pulan bin pulan”. Bererti sebutkan nama secara jelas dan terang ataupun sebutkan panggilan-panggilan yang biasa dipanggil terhadap diri anda yang boleh membantu tuan rumah yang anda ziarahi itu mengenali anda secara jelas, seperti mana dalam hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Jabir, katanya :
Aku (Jabir) datang ke rumah Rasulullah maka aku ketuk pintu rumah Rasulullah SAW. Maka kata Rasulullah, “Saya,Saya,Saya”, seolah-olahnya Rasulullah tidak suka dengan jawapan begitu. (RIWAYAT BUKHARI DAN MUSLIM)
Sesungguhnya pengajaran dalam hadis di atas ialah dalam melaksanakan kehidupan ini tidak boleh lari dari keizinan, sama ada dengan kaum keluarga atau orang lain, kerana Islam menyuruh umatnya meminta izin sekalipun orang itu paling hampir dengannya dan tinggal bersama. Dengan keizinan akan terhapus segala kesangsian atau keraguan orang lain terhadapnya, sama ada ibu bapanya atau adik beradiknya lebih-lebih lagi sahabat handai, kecuali keadaan memaksa atau kecemasan seperi pertolongan kebakaran dan waktu kesakitan dan sebagainya.
Dalam hal akhlak, Islam amat mementingkan saat keizinan ini dengan tujuan bagi menjaga tatasusila hidup yang penuh keharmonian iman dan jiwa yang takwa lagi sihat, supaya tidak tersentuh dengan situasi yang tidak menyihatkan serta boleh mengeruhkan keadaan. Oleh itu jelaslah seandainya anda masuk ke mana-mana tempat yang sewajarnya perlu meminta keizinan terlebih dahulu, tetapi jika dilakukan sebaliknya, maka perbuatan itu adalah suatu perbuatan yang amat jahil dan dikesali lebih-lebih lagi jika ia berlaku di kalangan umat Islam, kerana ini bukan akhlak Islam yang diajar oleh Nabi kita Muhammad SAW. jangan sekali-kali anda memasuki ke rumah orang lain tanpa izin terlebih dahulu, patuhilah dengan penuh rasa keimanan, takwa dan bertanggungjawab sebagai orang Muslim.
Mudah-mudahan ilmu ini dapat memambah pemahaman kita tentang ajaran
Islam dalam membimbing umat manusia, dan memperoleh kebahagiaan hidup di dunia dan
akhirat.
Petikan buku "Adab Pergaulan Menurut Al-Quran & Al-Sunnah".
Petikan buku "Adab Pergaulan Menurut Al-Quran & Al-Sunnah".
Comments
Post a Comment